Bermula sebagai keluarga arkitek, mereka kemudiannya berkembang menjadi penanam buah tin dan usahawan berjaya hingga mengeluarkan jenama sendiri, Mutiara Figs.

Keluarga itu ialah Mohd Hilmi bin Yusoff, 65 dan Faridah Hasni binti Ramli, 65, serta tiga anak mereka, Aliyaa Suraiya, 30, Ilani Hana Masturah, 36 dan Mohamed Fariz, 40.

Menurut Aliyaa, bapanya mula menanam pokok buah tin pada 2015 untuk dinikmati ibu mereka terutama apabila ia mempunyai banyak khasiat khususnya untuk wanita.

“Pada mulanya ayah menanam pokok buah tin untuk ibu kerana ia mempunyai banyak khasiat terutama untuk wanita.

“Tanamannya semakin lama semakin banyak dan melebihi keperluan kami sendiri,” katanya.

Ketika itu, Aliyaa yang baru saja menamatkan pengajian Sarjana Seni Bina di RMIT University, Melbourne berkata, hobi bapanya terus berkembang hingga menghasilkan jenama sendiri.

Lebih membanggakan apabila hasil tanaman mereka turut dibekalkan kepada beberapa hotel bertaraf lima bintang dan restoran mewah di Lembah Klang.

Antaranya, Four Seasons, W Hotels, Entier dan Troika Sky Dining.

Kini, Mutiara Figs mempunyai pelbagai jenis pokok buah tin yang ditempatkan dalam rumah hijau di atas tanah berkeluasan dua ekar di Shah Alam.

Bagaimanapun, Aliyaa berkata, tugas menjaga tanaman itu bukan perkara mudah disebabkan cuaca yang berbeza menyebabkan bapanya menggunakan sistem tuaian secara bergilir supaya ia berbuah sepanjang tahun.

Malah, mereka memetik buah pada setiap hari kecuali hujan memandangkan ketika itu buah agak berkurangan.

Mereka juga mengamalkan amalan pertanian secara mampan termasuk menggunakan semula air hujan.

“Semua tanaman kami dijaga dalam persekitaran terkawal dan di rumah hijau ini kami menggunakan sistem pengairan dan pembajaan secara automatik selain mengawal udara dan kelembapannya.

“Ia juga bebas racun tanaman dan kita baru saja menerima pensijilan myGAP daripada kerajaan kerana amalan pertanian baik,” kata Aliyaa.

Setakat ini, Mutiara Figs hanya menghantar bekalan sekitar Lembah Klang dan bercadang memperluaskan penghantaran ke Pulau Pinang, Johor Bharu dan Singapura sebaik sekatan penghantaran akibat Covid-19 dibuka semula.

Selain itu, Aliyaa dan Ilani turut menghasilkan beberapa produk lain daripada buah tin untuk memberi kepelbagaian kepada pengguna.

“Produk pertama kami ialah teh daun buah tin yang baik untuk kencing manis dan darah tinggi. Kemudian kami menghasilkan jem dan sambal buah tin.

“Kita tahu orang Asia sukakan sambal jadi kami menggantikan tomato dengan buah tin dan ia juga tidak banyak kandungan gula menjadikannya lebih sihat.

“Sambal Hijau Buah Tin dan Jem Buah Tin adalah produk paling laris kami. Produk penjagaan kulit yang menggunakan buah itu juga turut mendapat sambutan,” kata Aliyaa.

Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/fmt-ohsem/ohsem-myhobi/2021/04/14/bermula-hobi-keluarga-arkitek-akhirnya-hasilkan-jenama-buah-tin-sendiri/