Sudah lama tidak berkunjung ke ladang buah-buahan, salah satu kegemaran wartawan ialah melawat mana-mana ladang buah-buahan kerana tuan tanah pasti akan melayan kami seperti VIP dan yang bestnya kami tidak akan pulang dengan tangan kosong, pasti buah buah segar dibawa balik ke rumah.

Lawatan ini dapat ‘membersihkan’ minda daripada rutin biasa iaitu assignment di pejabat atau di hotel berbintang bintang.

Jadi melalui jemputan yang diterima untuk berkunjung ke Seksyen 30, Shah Alam, di Kampung Jalan Kebun baru-baru ini membuatkan Kak Dal rasa begitu teruja untuk melihat sendiri ladang penanaman buah tin di Malaysia.

Buah tin ditanam di rumah hijau

Selalunya, buah tin yang biasa di makan ialah apabila menerima buah tangan daripada rakan, sahabat dan keluarga yang balik dari mengerjakan umrah dan haji.

Itupun buah tersebut dikeringkan dan tiada rasa kesegarannya.

Kini buah tin segar terhidang di depan mata, apatah lagi ia diolah menunya dengan potongan buah-buahan lain untuk dijadikan salad, jem dan juga sambal.

Ia memang membangkitkan selera dan tatkala menikmati buah tersebut ia memberi satu kelainan yang sangat unik berbanding menikmati buah-buahan yang biasa di makan.

Dijamu dengan pelbagai menu sedap sebagai pembuka selera berasaskan buah tin
Sedap sungguh menikmati buah tin segar,apatah lagi segar dari ladang, tekstur dan kulitnya yang lembut dan manis serta disulami dengan rasa masam sedikit membuatkan kak dal mahu menikmatinya berkali-kali.

Lepas ini, tatkala menyinggah di pasar raya premium, perlu dicari buah tin segar kerana ia memiliki khasiat yang tinggi untuk kesihatan diri.

Harga buah tin cecah RM80 sekg
Buah tin kini mendapat permintaan yang tinggi dari hotel lima bintang dan restoran mewah dan ia dijual pada harga RM80 sekilogram.

Buah tin atau nama saintifiknya, Ficus Carica memiliki banyak khasiat semulajadinya seperti membantu merawat penyakit kencing manis hinggalah kepada penyakit ekzema.

Ia juga kaya dengan serat, kalium, kalsium dan zat besi yang dapat membantu menurunkan kolesterol serta mengawal paras gula dalam darah.


Persekitaran nyaman dalam rumah hijau tanaman buah tin

Di ladang Mutiara Figs Sdn. Bhd. milik syarikat bumiputera yang diasaskan oleh arkitek Mohd. Hilmi Yusoff, 65, terdapat empat buah rumah hijau yang ditanam buah tin dengan pelbagai spesis yang ditanam melalui konsep fertigasi.

Pelaburan bagi projek yang mula dibangunkan pada tahun 2017 itu adalah kira-kira RM2 juta yang mana RM500,000 daripadanya diterima daripada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) melalui Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (Superb).

Terima geran RM500,000 dari Teraju
Geran ini merupakan antara geran terbesar yang pernah ditawarkan kepada usahawan untuk membantu merangsang bakat bumiputera dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.

Melalui pelaburan tersebut, syarikat telah membina ibu pejabat bersebelahan ladang yang seluas 0.8 hektar (dua ekar).

Sebaik melangkah ke ladang tersebut, sejuk mata memandang ke dalam keempat-empat rumah hijaunya dipenuhi dengan pokok-pokok buah tin.

Geram macam nak petik sebiji bua tin dari pohon kecil yang tumbuh subur
Minat Mohd. Hilmi dalam bidang penanaman buah premium itu turut dikongsi bersama tiga orang anaknya yang juga arkitek membuatkan ia satu perniagaan keluarga yang berjaya.

Boleh dikatakan, Mutiara Figs kini menjadi syarikat bumiputera yang berjaya menguasai pasaran penanaman dan pengedaran buah tin di pasaran domestik.

Malah lebih menarik, syarikat turut menerima pelawaan untuk mengeksport buah tin ke luar negara, contohnya ke Hong Kong yang mana pembekalnya memerlukan penghantaran buah tin sebanyak 500 kilogram sehari.

“Buat masa ini, kami tidak dapat memenuhi permintaan tersebut kerana kapasiti pengeluaran buah tin dari ladang ini kira-kira 500 kilogram sebulan dan kami menjangkakan ia bertambah kepada 800 kilogram pada masa depan,” jelas Pengarah Urusan Mutiara Figs, Aliyaa Suraiya Mohd. Hilmi.


Kak Dal berkesempatan bergambar dengan MD Mutiara Figs, Aliyaa Suraiya.

Usahawan cantik manis ini, sangat berkemahiran tentang buah tin dan bersemangat tinggi seperti ayahnya untuk membangunkan perniagaan tersebut kerana ia menyedari perniagaan penanaman buah tin ini berpotensi untuk diperluaskan lagi pada masa depan.

“Memang ada pengeluar bumiputera yang terlibat dalam industri penanaman buah tin di Malaysia tetapi mereka tidak bertahan lama, jadi saya berkeyakinan syarikat bakal menjadi peneraju dalam bidang ini, melalui sokongan daripada Teraju dan pelabur serta pelanggan setia membolehkan syarikat akan terus berdaya saing,” terangnya.

Menurut Aliyaa, ayahnya memulakan penanaman buah tin sebagai hobi sahaja di kawasan perkarangan rumah dan anak benihnya dibeli secara online dari luar negara.

Dari hobi menjadi perniagaan menguntungkan
Menyedari kebaikan dan manfaat buah tin, keluarga arkitek ini menjadikan ia sebagai satu perniagaan yang berasaskan pertanian.

Perniagaan penanaman ini terbuka luas kepada mereka yang berminat selain kerana melalui pokok yang subur, ia boleh menghasilkan buah untuk dituai hanya selepas tiga bulan.

Tempoh masa yang pendek itu, berkeupayaan untuk mendatangkan hasil menarik buat sipenanam tetapi penjagaan rapi perlu diberikan kepada tanaman tersebut.


Buah tin yang dipelbagaikan menunya menjadi salah buah-buahan yang menyelerakan.
Konsepnya sama dengan proses penanaman tanaman lain, tiada penjagaan rapi dengan penuh kasih sayang, pastinya ia tidak akan membalas jasa tuannya.

Melalui majlis pembukaan Mutiara Figs baru-baru ini, syarikat mahu berkongsi rezeki bersama usahawan lain yang berminat untuk menceburi bidang penanaman berpotensi ini untuk menjalin kerjasama dengannya.

Selain itu, pada majlis tersebut, syarikat turut memperkenalkan produk baharunya iaitu Raspberry Fig dan Walnut Jam.

Influencer, bloger dan tetamu yang teruja menikmati buah tin segar
Ia merupakan penambahan kepada produk sedia ada syarikat iaitu Sambal Hijau Fig, Sambal Merah Fig, Sambal Bilis Fig dan juga teh Buah Tin.

Lebih menarik, sebaik mahu pulang dari ladang berkenaan, tuan tanah turut menghulurkan sepokok buah tin untuk dibawa pulang.

Ia bakal membuahkan hasil dalam tempoh 3 bulan lagi. Semoga tangan ini ‘sejuk’ untuk menjaganya dan diletakkan dibalkoni rumah dengan belaian kasih sayang agar ia berbuah dengan baiknya.

Source: http://www.dalizaariffin.com/tanaman/enaknya-nikmati-buah-tin-segar-dari-ladang-milik-mutiara-figs/