Buah tin bukan tanaman 3T
Mon, 23 Aug 2021
BUAH tin atau nama saintifiknya, Ficus carica biasanya didapati dari ladang negara empat musim seperti Turki, Australia dan rantau Eropah.
Bagi rakyat Malaysia pula, mereka mengenali buah tin kering sebagai cenderahati daripada mereka yang pulang dari Tanah Suci selepas menunaikan umrah atau haji.
Dengan perkembangan teknologi terkini, buah itu boleh didapati secara segar apabila ada inisiatif usahawan tani tempatan seperti pengasas Mutiara Figs Sdn Bhd, Mohd Hilmi Yusoff bersama isteri, Faridah Hasni Ramli mula menanamnya sejak 2017.
Kini meneruskan legasi itu, tiga anaknya turut mengusahakan tanaman buah tin termasuk Aliyaa Suraiya berperanan sebagai pengarah yang serius mengembangkan hasil produk daripada ladang berkeluasan dua ekar untuk pasaran tempatan serta pasaran import menerusi produk siap.
“Ketika ini ladang yang menempatkan lebih 3,000 pokok buah tin dengan hampir 300 spesies.
“Bagi menjamin kualiti dan impak positif buat masyarakat mengenai buah ‘syurga’ ini, kami turut bekerjasama dengan beberapa institusi akademik,” kata Aliyaa Suraiya menerima geran RM500,000 menerusi Skim Permulaan Usahawan Bumiputera(Superb) oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) itu.
Malah ketika Majlis Pembukaan Mutiara Fig ke-3 di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini penulis dibawa menjengah ladang pengasasnya untuk melihat kepelbagaian variasi buah tin yang terdapat di rumah hijau berkenaan.
“Mengenai buah tin ini memang perlu ada ilmu dan tahu penjagaannya. Maklumlah buah ini bukannya tanaman iklim kita dan ada teknik tertentu. Penjagaannya ‘manja’ dan jika faham mudahlah ia hidup dan berbuah.
“Tetapi perlu ingat ia bukanlah buah jenis tanaman 3T – tanam, tunggu dan tuai. Banyak penjagaan yang diperlukan dan penting memastikan medium untuk tumbuh-tumbuhan itu sesuai kerana ia boleh mati kalau terlalu banyak disiram.
“Kebanyakannya diimport, jadi perlu disesuaikan dengan persekitaran Malaysia. Tanah perlu sangat poros, jika tidak akarnya boleh menjadi busuk dengan mudah,” kata Mohd Hilmi.
Melihat kesungguhan keluarga itu, tidak dinafikan terselit rasa kagum kerana latar belakang mereka semuanya arkitek. Mereka beralih menjadi usahawan tani kerana minat terhadap tanaman buah tin.
“Untuk pengetahuan umum, kami mengamalkan sistem rumah hijau dengan adanya teknologi kawalan suhu selain tidak menggunakan sebarang racun perosak sebagai amalan ladang lestari.
“Ini penting selain meningkatkan produk pertanian berkualiti premium selain melihat ia antara usaha mengurangkan jejak karbon dalam industri pertanian tempatan,” katanya.
Source: https://www.hmetro.com.my/xpresi/2020/03/552221/buah-tin-bukan-tanaman-3t